Nov 23, 2014

[Kenyataan Rasmi] Jawatankuasa Pilihan Raya Cawangan (JPC) Tanta 2014 Membuka Tirai


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 65 bermaksud,
“...maka demi tuhanmu, mereka pada hakikatnya tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima sepenuhnya.”
Golongan mahasiswa merupakan tunjang kepada maju mundur sebuah negara. Tidak dapat dinafikan lagi suara mahasiswa menjadi semakin dominan dewasa ini. Namun begitu, untuk menjadi lebih terkehadapan dalam sesuatu isu, sebuah persatuan diperlukan untuk memimpin dan memandu golongan yang semakin mendapat perhatian ini. Mengambil iktibar dari sejarah negara tanah tumpah air kita, setiap kejayaan untuk menuntut kemerdekaan dimulakan dengan pertubuhan persatuan-persatuan yang diketuai oleh pemuda.

Manakala bagi setiap pertubuhan mahupun persatuan, para pemimpin diperlukan untuk mewakili ahli-ahli pertubuhan ini. Namun begitu peralihan tampuk kepimpinan dan kuasa adalah suatu lumrah dalam mana-mana persatuan mahupun organisasi. Yang datang akan pergi, yang hilang akan berganti. Justeru itu, pihak PERUBATAN telah memilih Sistem Pencalonan iaitu  calon yang layak bertanding perlulah mendapat cadangan dan sokongan daripada individu yang lain dan seterusnya pengundian oleh para ahli untuk memilih kepimpinan persatuan. Hal ini membuktikan PERUBATAN tidak pernah memandang enteng segala pendapat mahupun luahan hati ahli.

Hakikat sebuah proses pilihan raya memerlukan sebuah badan bebas bagi memastikan proses pilihan raya ini berjalan dengan lebih teratur & telus berpadanan dengan moto Jawatankuasa Piliharaya Pusat pada tahun ini iaitu “Berkat, Telus & Cekap”. Oleh itu sebuah jawatankuasa bebas bernama Jawatankuasa Pilihan Raya Cawangan telah ditubuhkan dengan diketuai oleh saya, Mohd Shah Syafullah Bin Che Ahmad selaku pengarah dan saudari Siti Umirah Binti Nasruddin selaku Timbalan Pengarah bagi melicinkan gerak kerja pilihan raya bagi PERUBATAN Cawangan Tanta pada tahun ini.
Bagi memastikan proses pencalonan dan pengundian kelak berjalan dengan lancar, di sini saya sertakan beberapa tarikh penting sebagai rujukan ahli untuk membuat serba sedikit persediaan.

25 November 2014
: Pengumuman MTP Kekal
26 November 2014
: Pengumuman AJKT Kekal
3 - 6 Disember 2014
: Penjualan Borang Pencalonan
6 Disember 2014
: Hari Pencalonan
7 Disember 2014
: Senarai Calon Fasa 1
7-19 Disember 2014
: Tempoh Kempen & Bantahan
20 Disember 2014
: Hari Pengundian
21 Disember 2014
: Pengumuman Keputusan

Setiap pilihan raya mempunyai kriteria tertentu untuk melayakkan ahlinya mengundi, begitu juga pilihan raya PERUBATAN ini. Secara amnya, ahli hendaklah berada lebih daripada setahun dan telah mengisi borang PERUBATAN untuk menjadi ahli matang. Manakala untuk melayakkan ahli menjadi pengundi perlulah membayar yuran tahunan PERUBATAN sebanyak LE 20 setahun. Status setiap ahli matang bolehlah disemak melalui Pengarah dan Timbalan Pengarah JPC sendiri.
Diharapkan setiap ahli matang dapat turut serta dalam kempen piliharaya ini secara aktif seterusnya menjayakan proses pengundian pada 20 Disember 2014.
Saidina Ali ada berkata,
“Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.”
Oleh itu bangkitlah pemuda pemudi PERUBATAN Cawangan Tanta. Ayuh sama-sama kita menjayakan kempen piliharaya kita.

Sekian, terima kasih.
Mohd Shah Syafullah Bin Che Ahmad
Pengarah,
Jawatankuasa Pilihan Raya Cawangan,
PERUBATAN Cawangan Tanta 2014.





Read more »